“Ambiklah Sir Alex Ferguson Sekalipun, Kalau Pemain Hanya ‘Jaguh Kampung’ Tetap Kalah Jugak”

Legenda bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail, sekali lagi mengkritik prestasi semasa skuad Harimau Malaya yang dilihat semakin menjunam dengan mengatakan betapa kualiti pemain yang membarisi skuad kebangsaan tidak berada pada tahap antarabangsa dan hanya mampu mendabik dada dengan menjadi ‘jaguh kampung’ sahaja.

“Kalau bagi Sir Alex Ferguson jadi jurulatih skuad kebangsaan sekalipun, saya rasa beliau boleh pengsan.”

Bekas pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980 itu berkata, situasi ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan bola sepak sudah menjadi semakin berkembang dan mereka kini memiliki banyak fasiliti yang lebih baik dan seharusnya dapat membantu mereka meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

“Setiap kali tewas, jurulatih yang dipersalahkan sedangkan semuanya berpunca daripada pemain di tengah padang yang tidak dapat beraksi dengan baik. Kualiti mereka hanya pada tahap liga tempatan dan mereka tidak bersedia secara fizikal serta mental untuk perlawanan bertaraf antarabangsa.

Foto oleh – FAM

“Nelo Vingada terpaksa bekerja dengan set pemain yang sebegitu. Kalau hanya ada pemain dengan kualiti sebegitu yang boleh dipilih, kita lantik jurulatih ternama lain pun saya rasa kita tetap akan gagal.

“Jadi, saya berpendapat kita rehatkan saja pemain senior dalam skuad kebangsaan. Lebih baik kita beri peluang kepada pemain muda seperti skuad Bawah 23 tahun (B-23) dan B-19 untuk mendapat pengalaman beraksi di pentas lebih tinggi.

Foto oleh – FAM

“Mungkin kita khuatir kalau menghantar pemain muda, mereka akan dibelasah tapi kita turunkan pemain senior yang ada banyak pengalaman pun kita tetap tewas dengan keputusan yang besar, jadi tidak ada bezanya di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Perjuangan skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Asia 2019 berkubur selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada Korea Utara dengan keputusan sama 1-4 di Buriram, Thailand malam tadi.

HMetro Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Jangan Copy Paste!