“Berjiwa Besar Sebagai Seorang Pemimpin, Najib Mencontohi Salahuddin Al-Ayubi” -Shahrizat

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar.

Katanya, ini kerana Najib dilihat mengetahui ketika mana mahu mengasingkan waktu musuh harus ditentang dan waktu bila pekerti harus dijulang.

“Saya teringat bagaimana kisah seorang pemimpin Islam Salahuddin Al Ayubi, ketika Perang Salib, tiba-tiba beliau mendapat khabar, bahawa jeneral dari pasukan musuhnya sedang sakit.

“Disuruh para tentera berhenti berperang. Pada malamnya, Salahuddin menghantar doktor terbaik merawat jeneral musuhnya.

“Puan-puan ini bukan kecil jiwa, demikianlah pemimpin yang kita miliki hari ini, jelas kita lihat jiwa besar pemimpin BN kita semasa banjir besar melanda Pulau Pinang baru-baru ini,” katanya menerusi teks ucapan dasar Ketua Wanita Umno, di PWTC hari ini.

Pada awal November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat mangsa banjir di Pulau Pinang.

Dalam lawatan itu, turut bersama Najib dan isteri ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; beberapa menteri dan barisan exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, penonjolan imej berkenaan adalah hasil didikan Umno yang akhirnya dapat melahirkan pemimpin yang berjiwa besar.

“Selagi tali bersatu, bersetia, berkhidmat dipegang kejap pemimpin dan ahli Umno, selagi itulah mereka akan terus berjiwa besar,” katanya.

Katanya, sekali dilepas genggaman ini, mengkhianati perjuangan parti, lihat sendiri buktinya sekarang, tiada kesatuan, tiada kesetiaan dan tiada lagi khidmat bakti yang dicurahkan, hanya propaganda menjadi mainan.

Pada masa yang sama, Sharizat (Wanita Umno) turut sama mengikut cadangan Pemuda Umno untuk tidak pertandingkan dua jawatan tertinggi Parti tersebut iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang dipegang oleh Najib dan zahid.

Wanita Umno turut mengisytiharkan perang bagi memastikan parti Melayu itu kekal memerintah Putrajaya dan tidak dirampas pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“PRU14 merupakan jihad buat Wanita Umno agar Malaysia terus dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai rekod cemerlang.”

“Di hadapan kita musuh yang menggila, ini perang yang bukan kepalang, ini sumpah seorang pejuang. Ini perang yang mesti menang, kita tegakkan panji keramat. Kita perang demi maruah, kita perang demi bangsa kita perang mesti menang.

“Ini amaran Wanita, sekali anak bangsa kami disentuh, siang malam Wanita rempuh. Sekali Wanita perang, jangan siapa berani halang. Sekali Wanita perang, semua petualang mesti kecundang.

“Ini perang mesti menang wahai ibu terbaik bangsa, gendang perang sudah dipalu, seruan jihad gegar berseru, pilihan kita hanya satu. Perang mesti menang.”

Mengulas lanjut, Shahrizat juga memberikan kata dua kepada Wanita Umno sama ada memilih pemimpin yang sudah diketahui secara fakta dan angka memiliki rekod cemerlang atau pemimpin yang akan menindas bangsa Melayu.

“Kali ini rakyat terpaksa hadapi kata dua, pilihlah wahai rakyat. Pilihlah di antara dua. Satu kanan, kerajaan parti yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak dan saf kepimpinan Barisan Nasional (BN). Kita kenal hati budi, rekod pencapaian Najib.

“Jika kiri, pilihlah kerajaan yang dikemudikan DAP. Sanggupkah rakyat Malaysia serah bulat-bulat negara yang kita bina sekian lama kepada pemimpin ‘cauvanist’. Pemimpin yang agendanya membimbangkan kita semua.

“Hanya 2 pilihan, kerajaan dipimpin Najib, melalui BN atau pembangkang yang akan dipimpin Lim Kit Siang. Sanggupkah kita lihat ia berlaku?” katanya.

Sinar Harian, FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Jangan Copy Paste!