“Mak Bapak Melayu, Astro Boleh Langgan Tapi Bab Pendidikan Anak Taknak Keluar Duit” – Menteri

“Sesetengah ibu bapa Melayu mampu membayar bulanan RM199 untuk melanggan perkhidmatan televisyen Astro, tetapi gagal memberi pendidikan lebih baik kepada anak,” bidas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bercakap kepada China Press, beliau sebaliknya memuji kaum lain yang lebih menitikberatkan pendidikan anak supaya mereka boleh berjaya dalam hidup.

Katanya, sebelum meluluskan bantuan bulanan kepada keluarga miskin, agensi kerajaan akan menghantar pegawai untuk melawat dan memahami keadaan sebenar pemohon.

“(Pegawai) yang ke rumah mendapati televisyen mereka (pemohon) lebih nipis daripada televisyen di rumah sendiri. Setiap bulan saya bayar RM60 untuk tengok Astro, mereka sebaliknya bayar RM199 sebulan.

“Apabila bercakap mengenai buku latihan, baju sekolah dan alat tulis anak-anak, mereka mengadu tak ada duit, tetapi mereka bawa kereta Toyota. Ibu bapa bersenang lenang, tetapi anak-anak sebaliknya.”

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah dan baucar RM100 kepada pelajar sempena Program Ceria ke Sekolah anjuran Komuniti 1Malaysia Kampung Paya di Kuala Lumpur, semalam.

Johari berkata, untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, orang melayu perlu mengubah cara pemikiran dengan mengutamakan anak dan pendidikan mereka.

“Walaupun sesetengah orang bukan bumiputera tidak mendapat pendidikan pada zaman dahulu, tetapi sebagai ibu bapa, mereka bekerja keras untuk membangunkan negara bersama dan memberi pendidikan terbaik kepada anak, akhirnya anak mereka berjaya dalam perniagaan.

“Sebelum negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu mempunyai harta dan tanah, tetapi semua itu dijual generasi seterusnya yang tidak berpendidikan dan tidak tahu menguruskan kewangan.”

Katanya, untuk menjadi negara maju, faktor terpenting ialah meningkatkan tahap pendidikan rakyat dan sistem pendidikan Malaysia memberi peluang kepada semua rakyatnya, tidak kira kaya atau miskin mendapat pendidikan.

“Jika ibu bapa selalu menitikberatkan pendidikan, suatu hari nanti anak-anak akan berjaya.

“Untuk mengubah cara hidup, kita perlu tahu merancang dan menguruskan kewangan dengan baik, serta tahu mengutamakan perbelanjaan lebih penting dan kurang penting.”

Bagaimanapun, ramai orang Melayu yang miskin tidak mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik kepada anak.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Jangan Copy Paste!