Kerajaan BN Tidak Akan Bentang RUU355 – NAJIB

Kerajaan BN Tidak Akan Bentang RUU355 – Najib

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak mencapai konsensus berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen, kata Najib.

Dengan itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, yang bermula kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu selaras dengan amalan BN yang akan membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.

Sehubungan itu, katanya, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“RUU ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan kami menyerahkan sepenuhnya kepada speaker untuk menentukan (bila dibentangkan), bergantung pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Jika speaker putuskan untuk membenarkan RUU 355 dibentang, maka ia akan dibentangkan dan speaker juga akan memutuskan peraturan mengenai (pembentangan) RUU itu.

“Kita tidak akan bentang dan tentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU 355 ini adalah rang undang-undang persendirian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, hari ini.

BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Jangan Copy Paste!