Jabatan Mufti Selangor & JAIS Arah ‘VALET DOA’ Henti Operasi

Jabatan Mufti Selangor & JAIS Arah ‘VALET DOA’ Henti Operasi

Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan laman Facebook Valet Doa yang menawarkan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah agar MENGHENTIKAN operasi mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau akaun Facebook pengasas Valet Doa.

“Jakim menyokong apa jua tindakan yang diambil SKMM dalam membasmi aktiviti yang boleh menjejaskan kesucian umat Islam dan menimbulkan impak negatif, salah faham serta merosakkan akidah,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) mengenai tindakan kerajaan berhubung isu Valet Doa dan langkah yang diambil bagi mengatasi isu ini.

Umat Islam di negara ini turut disaran supaya memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam negeri dan Jakim sekiranya terdapat kemusykilan terhadap sesuatu isu berkaitan agama bagi tindakan lanjut.

Menjawab soalan tambahan Normala berhubung individu terbabit tetap ingin meneruskan perkhidmatan tersebut kerana pihak mufti tidak mengeluarkan fatwa mengenai isu itu, Jamil Khir berkata ia tidak bermakna individu tersebut boleh meneruskan perniagaannya.

Beliau berkata jabatan mufti negeri mengambil inisiatif dan langkah proaktif yang berterusan dengan memberi nasihat dan Irsyad Hukum (Kemusykilan Agama) berkaitan larangan mempromosikan pakej tersebut.

Malah katanya, tindakan boleh diambil sekiranya individu terbabit mengingkari arahan mufti.

“Dia harus faham bahawa ada unsur-unsur yang amat tidak sihat dalam iklan (valet doa) tersebut misalnya dikenakan bayaran dari RM250 ke RM5,000 bergantung kepada tempat-tempat doa tersebut serta ada diskaun, seolah-olah doa itu akan dimakbulkan,” katanya.

Perkhidmatan Valet Doa mula tular di laman sosial selepas ramai netizen mengecam dan kesal terhadap perniagaan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah, kononnya ditawarkan kepada mereka yang tidak mampu ke Tanah Suci.

–¬†BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Jangan Copy Paste!