Bekas Jurulatih Malaysia & Perak, Atok Weigang (Karl Heinz Weigang) Sudah Tiada…

Bekas Jurulatih Malaysia & Perak, Atok Weigang (Karl Heinz Weigang) Sudah Tiada…

Karl Heinz Weigang, 82 tahun, yang merupakan bekas ketua jurulatih bola sepak Malaysia dan Perak, dilaporkan telah meninggal dunia di Jerman akibat serangan jantung, hari ini.

Lagenda Weigang yang dikenali sebagai “Atuk” di kalangan peminat bolasepak Perak pernah membawa Malaysia ke puncak kegemilangan layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Russia pada 1980. Namun pasukan negara menarik diri akibat protes terhadap negara tuan rumah.

Weigang menjadi jurulatih yang sentiasa menjadi kesayangan penyokong-penyokong Perak apabila kehadirannya berjaya membawa pelbagai kejayaan kepada skuad The Bos Gaurus termasuk menjuarai Piala Malaysia pada 1998 dan 2000.

Weigang turut menjadi jurulatih pasukan Perak pada awal musim tahun ini sebelum memutuskan secara bersama dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk meninggalkan pasukan itu pada Februari lalu.

Weigang juga pernah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan pencapaian tertinggi dalam arena bolasepak dunia melalui penganugerahan Merit of Gold daripada FIFA pada tahun 1998.

Mengetuai sebanyak lapan pasukan kebangsaan termasuk Vietnam, Mali, Sri Lanka dan Malaysia, Weigang juga pernah mencurahkan ilmu beliau di pasukan Perak, Johor dan pasukan kebangsaan sejak berkecimpung bermula tahun 1964 hingga 2017.

Berita kematiannya ini pasti menambah duka buat seluruh penyokong Perak selepas kehilangan, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang meninggal dunia pada 9 Jun lalu.

Weigang dan Raja Ahmad berpelukan meraikan kejayaan setelah Perak menjuarai Piala Malaysia 2000 menewaskan Negeri Sembilan 2-0, di Stadium Shah Alam.

– Selamat jalan Weigang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *